Tuesday, August 3, 2010

PENGALIRAN WANG KE LUAR NEGARA

Kebanjiran buruh asing di negara kita juga bermakna pengaliran wang ke luar negara turut meningkat. Pekerja asing terutamanya yang berasal dari Indonesia, Filipina, dan Myanmar yang bekerja di negara kita akan mengirimkan sebahagian besar gaji yang diterimanya ke kampung halaman untuk menampung kehidupan keluarga mereka yang hidup dalam serba kekurangan. Hal ini demikian kerana jika mata wang Ringgit Malaysia (RM) ditukarkan kepada mata wang negara mereka, nilainya adalah berlipat ganda.

Tahukah anda bahawa pekerja asing di Malaysia telah menghantar pulang sebanyak RM9.124 billion ke negara asal mereka sejak Januari 2008 hingga akhir Jun 2008. Nilai ini jika deperhatikan bukanlah satu angka yang kecil dan tidak boleh dipandang remeh. Selain itu sehingga 31 Julai 2008, jumlah pekerja asing di negara kita adalah seramai 2.1 juta orang dan selepas ditolak bahagi secara puratanya setiap pekerja asing telah menghantar pulang sebanyak RM720 sebulan. Turut dilaporkan hampir 20% tenaga kerja di malaysia terdiri daripada warga asing dan nisbah pekerja di negara ini ialah seorang warga asing bagi setiap 4 orang pekerja tempatan.

Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan merugikan negara. Hal ini demikian kerana jika nilai pendapatan faktor ke luar negara adalah lebih besar daripada nilai pendapatan faktor dari luar negara akan menyebabkan pendapatan faktor bersih luar negara(PFBLN) bernilai negatif. PFBLN yang bernilai negatif seterusnya akan membawa kepada berlakunya kurangan dalam imbangan pembayaran. Kurangan yang berlaku dalam imbangan pembayaran akan menyebabkan berlakunya kemerosotan dalam tingkat pendapatan negara secara keseluruhannya.

Kesimpulannya kebanjiran pekerja asing dalam negara kita akan memberi kesan kepada tingkat pendapatan negara secara umumnya.

3 comments: