Sunday, August 1, 2010

KEDATANGAN PEKERJA ASING MENUTUP PELUANG KERJAYA PENDUDUK TEMPATAN

Menurut laporan Jabatan Imigresen Malaysia, pada Disember 2009 jumlah pekerja asing yang terdapat di dalam Malaysia adalah lebih daripada 1.92 juta orang yang mana terdiri daripada rakyat negara Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar, dan India. Pada masa yang sama,menurut Utusan Malaysia Online bertarikh 26 Mac 2009, kadar pengangguran penduduk tempatan meningkat daripada 3.7 peratus kepada 4.5 peratus. Hal ini membuktikan bahawa kebanjiran pekerja asing telah menutup peluang kerjaya penduduk tempatan.



Pada pendapat saya, kedatangan pekerja asing berkait rapat dengan masalah pengangguran penduduk tempatan kerana beberapa faktor. Walaupun pada dasarnya kita melihat bahawa mereka hanya diambil bekerja untuk pekerjaan kos rendah seperti pelayan tetamu dan pekerja kontrak, namun kedatangan mereka dikatakan menutup peluang kerjaya kerana pekerjaan sedemikian boleh ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang ingin mengumpul wang untuk meneruskan pelajaran mereka ke tahap yang seterusnya. Dari aspek pekerja kontrak seperti tukang paip dan buruh, kebanyakkan pelajar di Malaysia mahir dalam bidang tersebut seperti pelajar-pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Apabila pekerja asing yang diambil bekerja, hal ini menimbulkan isu-isu pengangguran seperti yang berlaku pada masa kini.



Kedatangan pekerja asing juga menutup peluang kepada usahawan muda untuk memulakan bisnes mereka. Sebagai langkah permulaan di dalam bidang perniaagan, kebanyakkan usahawan muda cuba bermula dari perniagaan kecil-kecilan seperti menjual burger atau sate dan berkembang menjadi francais seperti Otai Burger dan Sate Kajang. Namun, kejayaan seperti ini menjadi sukar apabila berlaku kebanjiran pekerja asing kerana mereka juga turut terlibat dalam bisnes kecil-kecilan ini seperti menjual nasi lemak dan goreng pisang. Penglibatan mereka telah mewujudkan persaingan seperti merebut tapak premis perniagaan.



Selain itu, perkara lain yang menutup peluang kerjaya penduduk tempatan adalah kerana majikan-majikan di gedung membeli-belah yang tersohor seperti Mydin, Giant dan Tesco hanya berminat untuk menggunakan khidmat pekerja asing disebabkan bayaran gaji mereka yang rendah. Dalam hal ini, majikan perlu mengambil langkah penyelesaian untuk mengurangkan kadar pengangguran penduduk tempatan dengan menggunakan khidmat mereka yang tiada pekerjaan. Bukan sahaja kadar pengangguran menurun, malahan taraf ekonomi rakyat tempatan juga boleh meningkat.






-FADHLULLAH FAHIM BIN ABDUL AZIZ-


-205298-

No comments:

Post a Comment