Wednesday, August 18, 2010

PENINGKATAN PERMOHONAN TARAF KEWARGANEGARAAN

Kebanjiran pendatang asing seringkali dikaitkan dengan globalisasi. Pertembungan budaya memang telah berlaku di seluruh dunia semenjak zaman nenek moyang hingga kini. Sebagai contoh, dalam tahun 2000, penduduk Asia telah melebihi orang kulit putih di San Francisco menjadikannya bandar raya kedua di Amerika yang majoriti penduduknya ialah penduduk Asia selain Honolulu. Mungkin kita boleh menyorot kembali sejarah bagaimana orang-orang cina dibawa ke Tanah Melayu untuk dijadikan buruh melombong bijih timah. Ini adalah salah satu contoh kesan globalisasi.

Seperti yang kita tahu, pendatang asing kelihatannya agak memonopoli sektor pekerjaan di negara ini. Perkembangan ekonomi dan pentadbiran politik di Malaysia menjadi faktor yang menarik perhatian pekerja asing. Kebergantungan Malaysia terhadap pekerja asing amat tinggi terutama dalam sektor perkhidmatan, pembinaan, perladangan, dan pembuatan. Keadaan itu amat menguntungkan kedua-dua belah pihak, iaitu negara Malaysia dan juga pekerja asing yang datang dari pelbagai negara seperti Indonesia, Nepal, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, China, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, Pakistan, dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, kemasukan secara beramai-ramai dengan izin dan tanpa izin ini menjadikan negara kita semakin pening dengan kesan-kesan yang wujud.

Sikap terbuka kerajaan menerima kedatangan pekerja asing ini menjadikan Malaysia salah satu destinasi yang penting untuk penghijrahan manusia mencari kerja. Wujud pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak Malaysia dan negara mereka seperti pemeriksaan kesihatan dan pemberian permit kerja menjadikan negara ini syurga buat mereka. Maka, dasar kerajaan yang terbuka terhadap pengambilan pekerja asing telah menyebabkan mereka sanggup datang ke sini.Namun dalam masa yang sama dasar mengutamakan pekerja asing ini telah membuatkan peluang kerja kepada masyarakat tempatan terutama golongan muda agak terhad.

Seperti yang kita tahu, sektor pekerjaan warga asing tidak hanya tertumpu kepada sektor tidak professional iaitu buruh dan pembinaan malahan dalam sektor professional juga iaitu sektor sains dan teknologi. Apa yang dapat kita perhatikan di sini adalah sesuatu yang amat bercanggah antara satu sama lain. Sebagai warganegara Malaysia, bilangan mahasiswa dan mahasiswi di Malaysia dikategorikan sebagai lambakan yang menyebabkan ramai di antara mereka mengganggur disebabkan tiada peluang pekerjaan. Mengapakah perkara ini boleh berlaku?Adakah jauh bezanya kualiti yang terdapat pada mahasiswa dan mahasiswi berbanding dengan warga asing yang menyebabkan mereka seolah-olah tersisih untuk diambil bekerja oleh majikan?persoalan ini yang patut kita terapkan.

Sebagai penuntut pusat pengajian tinggi, kerajaan menggalakkan kita untuk menerapkan kemahiran insaniah ataupun lebih dikenali dengan soft skill yang merangkumi aspek kemahiran berfikir secara kreatif, kemampuan untuk menginterpretasi idea dan kemahiran untuk berbahasa inggeris. Tetapi mengapakah masih ramai lagi graduan yang mengganggur?Adakah usaha yang diambil oleh kerajaan untuk memantapkan graduan selama ini adalah sia-sia?Ataupun kita sebagai mahasiswa tidak berpijak di bumi yang nyata?

Antara contoh mudah yang mendorong kerajaan untuk memberikan taraf kewarganegaraan tetap kepada warga asing adalah kerana kedua-dua mendapat kepentingan mereka sendiri. Warga asing mendapat ganjaran di atas pekerjaan mereka dan kerajaan mendapat hasil di atas sumbangan mereka. Adakah kita sedar bahawa sekirannya perkara ini tidak dibendung, tidak mustahil tanah ini yang dibuka dan dimakmurkan oleh nenek moyang kita akan dihuni oleh warga asing yang langsung tiada kaitannya dengan kita. Inilah masalahnya kita sebagai bangsa melayu, kita hanya memikirkan kepentingan kita pada masa kini tanpa memikirkan warisan yang kita akan tinggalkan pada anak cucu kita pada masa depan. Mahukah anak cucu kita sebagai penghuni tanah yang indah ini merempat di bumi sendiri pada masa hadapan?sama-sama kita renungkan.

Sebagai kesimpulan, kita pernah dijajah pada waktu dahulu dan sekarang warga asing kelihatannya memonopoli sektor kritikal. Mahukah kita ditindas oleh bangsa asing yang lain pula? Kedatangan mereka sukar dikawal dan globalisasi tidak boleh dielakkan, lantaran itu kita sebagai warga tempatan lah yang perlu bertindak memperkasakan ekonomi dan bangsa kita sendiri. Jangan harapkan warga asing ini dihalau balik ke negara mereka kerana hal ini tidak akan berlaku! Jangan mengaku kalah dan hanya menuding jari kepada pihak berkuasa atau warga asing ini. Bangunkanlah bangsa kita agar kita tidak merempat di negara sendiri.

No comments:

Post a Comment